Pada Suatu malam, ketika aku sedang leka menyiapkan laporan untuk tugasan aku pada shif malam, ketika sedang rakan-rakan aku yang lain leka melayan radio yang berkumandang, ketika itulah telefon kaunter Triage berbunyi mengejutkan semua orang termasuklah diriku.    
    
    Jam menunjukkan tepat pukul 12.30 am ketika telefon berdering, aku mendapat satu panggilan telefon untuk mengambil seorang pesakit di rumah yang dikatakan sedang tenat, aku dibantu seroang Pem. Perawatan Kesihatan bergegas ke destinasi yang telah dimaklumkan, suasana pada malam itu berlainan benar ku rasakan, angin malam yang bertiup pada malam itu begitu menyeramkan aku, namun demi tugas dan tanggungjawab aku pada amanah yang diberi, aku abaikan semua perkara yang sedang bermain dimindaku ketika itu.    

    Setibanya aku di rumah pesakit, aku dapati sanak saudaranya sedang menunggu kehadiranku dari Luar, aku masuk dan memeriksa keadaan mangsa, kata mereka salah seorang waris pesakit memberitahuku, ibu mereka masih bergerak cuma keadaannya nampak begitu kritikal sejak dari pukul 5.30 petang, sejak dari pukul 5.30 petang??, kenapa baru sekarang panggilan ambulan baru dibuat, menurut anak mangsa  yang sulung, sebenarnya memang mereka mahu menghantar ibu mereka sejak dari petang lagi, namun terdapat sedikit salah faham diantara adik beradik yang lain yang mahukan ibu mereka dibiarkan sahaja nazak dan menghembuskan nafasnya di rumah tanpa perlu dibawa ke hospital, namun sehingga ke pukul 12.00 tengah malam, ibu mereka didapati masih lagi menggerakkan kelopak matanya dan sesekali menggerakkan tangannya seolah menahan kesakitan yang amat.
    
    rasa tidak sedap hati mula terbit di benakku, akupun memulakan tugasku memeriksa keadaan pesakit, aku ulangi sebanyak 3 kali pemeriksaan terhadap tekanan darah pesakit dan sebanyak 3 kali jugalah aku dapati tiada bacaan tekanan darah yang aku perolehi dari pesakit yang aku periksa itu, begitu juga dengan keadaan anak mata pesakit, aku agak terkejut juga apabila mendapati anak mata pesakit seperti sudah lama dia meninggal dunia kerana tiada reaksi pada cahaya yang suluhkan ke matanya, kedua-dua belah anak matanya sudah mengembang. bagaimanakah yang hendak aku katakan kepada waris mereka, mereka masih yakin ibu mereka masih hidup dari segi fizikalnya, tapi dari segi ilmu perubatan yang aku pelajari, ibu mereka jelas sudah lama mati, aku cuba yakinkan sekali lagi bahawa diriku ini tidak bermimpi, aku meminta salah seorang dari anak pesakit mengeluarkan cermin kecil, apa yang ingin aku lakukan ialah aku ingin melihat adakah mangsa masih bernafas atau tidak, hampir seminit aku biarkan cermin itu di hadapan hidung dan mulut pesakit, tiada juga wap yang terhasil di atas cermin itu, bahkan yang paling memeranjatkan pesakit masih juga merenung tepat ke mata ku sambil mengerlipkan kelopak matanya, terasa meremang bulu roma aku ketika itu, bagaimana aku hendak jelaskan kepada waris pesakit ini, jika aku beritahu mereka sekalipun pasti mereka akan kata aku karut kerana mengatakan ibu mereka telah mati sedangkan hakikatnya ibu mereka masih boleh menggerakkan bola mata dan kelopak mata seperti orang hidup. namun demi tugas aku harus bersikap profesional dan bijak mengawal keadaan yang semakin rumit ini.
    
    setelah berbincang dengan waris pesakit, akhirnya mereka bersetuju untuk membawa pesakit ke hospital untuk rawatan lanjut, ketika mengangkat pesakit, satu lagi kejadian aneh yang berlaku terhadap aku dan juga PPK yang bersama aku pada malam itu, jika di ukur dari bentuk badan pesakit, aku anggarkan berat badan pesakit dalam 45 kg kerana badan pesakit nampak terlalu kurus dan kering, tapi ketika mengangkat pesakit, kami rasakan bagaikan mengangkat beban yang melebih 45 kg, tak terdaya kami berdua  mengangkatnya, terpaksa kami meminta bantuan dari anak-anaknya yang lain.

    Pemandu Ambulan juga merasa hairan kerana ambulan yang dipandunya terasa sangat berat pada malam itu, aku masih meneruskan pemerhatian aku terhadap pesakit,aku pasangkan SPO2 dan cardiac monitoring pada setiap anggota jari pesakit bagi memastikan aku tidak silap ataupun mesin SPo2 dan cardiac monitoring itu juga tidak silap, namun kesemua usaha aku sia-sia kerana keadaan pesakit langsung tidak menunjukkan jumlah bacaan oksigen dalam badan dan juga nadi pada mesin SPo2 dan cardiac monitoring. Aku cuba melakukan CPR beberapa kali untuk mengembalikan denyutan nadi dan jantung pesakit, namun mesin cardiac monitoring juga gagal menunjukkan apa-apa bacaan terhadap nadi pesakit.

    Setibanya pesakit di hospital, Doktor memulakan tugasnya memeriksa keadaan pesakit sekali lagi, setelah membuat kesemua pemeriksaan, Doktor juga hairan mengapa aku membawa pulang mayat ke Hospital, aku pula bertanya kepada doktor apakah benar apa yang aku bawa di dalam ambulan tadi adalah mayat??aku menjelaskan keadaan sebenar kepada Doktor mengapa aku membawa mayat itu ke hospital, aku mengarahkan doktor memeriksa semula keadaan pesakit itu, sambil merenung tepat ke mata pesakit, tiba-tiba doktor tadi terkejut sambil melatah, doktor juga terkejut melihat mata pesakit yang dikatakannya mayat sebentar tadi bergerak sambil bola matanya merenung setiap penjuru di dalam bilik rawatan pada malam itu.

    kata doktor, ini mesti ada sesuatu yang tidak kena pada pesakit ini, doktor cuba mendapatkan kepastian dari waris pesakit yang aku bawa tadi, mereka juga tidak dapat menjelaskan apakah punca disebalik kejadian ini, kata mereka ibu mereka tidak pernah memuja atau mengamalkan sesuatu kepercayaan karut selama ini. Cuma yang mereka tahu ibu mereka tidak boleh makan pisang atau lalu di bawah ampaian, bagi mereka, mereka anggap itu adalah perkara biasa.
    
    dalam keadaan kecoh dan serba kelam kabut pada malam itu, pemandu ambulan kami pada malam itu menawarkan diri untuk cuba menyelesaikan masalah yang berlaku diantara pihak hospital dan juga warisnya, pemandu kami merasakan ada sesuatu yang sedang menumpang di dalam jasad si mati, dia menghampiri mayat itu sambil membacakan sesuatu, selepas itu dia menggosokkan kedua belah tapak tangannya sambil menyapukan ke wajahnya seterusnya menyapukan keseluruh tubuh si mati, dengan tak semena-mena terasa angin lalu di sekeliling bilik rawatan pada malam itu, ketika itulah kami dapati mata si mati mula tertutup rapat.

    kata pemandu ambulan, mayat ini mungkin mengamalkan satu dari cabang ilmu pengasih semasa hayatnya, mungkin ilmu ini digunakan untuk menundukkan suaminya agar tidak bermain kayu tiga, namun kesilapan si mati adalah dia gagal membuang amalannya sebelum dia mati

    setelah semuanya selesai, seperti biasa, mayat yang telah meninggal dunia di hospital perlu melalui beberapa prosidur seperti mendapat barrier permit dari pihak polis dan juga sijil pendaftaran kematian sementara untuk membolehkan mayat di bawa keluar dari hospital, sementara menunggu semua proses ini disiapkan, mayat ini perlu di simpan di dalam simpanan peti simpanan mayat. kerana PPk yang ingin membawa mayat ini ke bilik mayat takut berseorangan, terpaksalah aku menemankan dia ke bilik mayat pada malam itu, setelah selesai menyimpan mayat di dalam loker peti simpanan mayat, kami berdua bersiap untuk menguncikan bilik mayat. dengan tak semena-mena kami terdengar dengan jelas bunyi seperti ketukan dari dalam peti simpanan mayat yang kami gunakan tadi. tanpa berfikir panjang, kami berdua lari lintang pukang meninggalkan bilik mayat pada malam itu
    Kami berdua mengalami demam dan trauma selama seminggu akibat dari kejadian itu, kami berdua juga terpaksa mengambil penawar dari salah seorang tok imam di sini bagi memulihkan semangat kami akibat dari trauma kejadian malam itu……bagi aku pengalaman seperti ini mengajarku bahawa, ilmu yang baik jika digunakan untuk kebaikkan pasti memberi kita manfaat, tetapi jika sebaliknya yang kita cari, pasti bencana jua yang menimpa apabila di hujung nyawa…Cerita ini hanyalah rekaan semata-mata, Takde kena mengena dengan yang hidup atau yang mati, imaginasiku terhadap dunia seram ini selalu menjelma tika aku berseorangan di Kaunter Triage apabila aku bertugas pada waktu malam…idea bila sekali datang ajer aku terus key in dalam laptop aku….